Isteri Pemangku Raja Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam mempersoalkan punca kematian seorang bayi perempuan akibat terjerut tali buaian seperti tidak masuk akal.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Che’ Puan Besar Khaleeda memuat naik hantaran daripada bapa bayi berkenaan mengenai kecederaan anaknya bersama laporan bedah siasat.
Susulan itu, Che’ Puan Besar Khaleeda menggesa kes kematian bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, 15 bulan, ketika dalam jagaan di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan, Februari lalu, disiasat semula.
Dalam perkongsian tersebut, Che’ Puan Besar Khaleeda turut tanda pagar #justiceforbabysyifaa serta memetik nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Sementara itu, dalam hantaran lain Che’ Puan Besar Khaleeda turut menyuarakan pandangannya mengenai kecederaan yang dialami bayi tersebut.
“Bagi saya tidak masuk akal Baby Syifaa terjerut buai dengan ada kesan luka di kakinya seperti dia diheret,” tulisnya.
Che’ Puan Besar Khaleeda turut meluahkan rasa hairan dengan kesan jerutan di leher yang nipis seperti tidak menggambarkan ia dijerut dengan tali buaian.
Terdahulu, Baby Syifa dilaporkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang pada 22 Februari lalu selepas dijumpai oleh pengasuh dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan leher dan kepalanya terkeluar dan tergantung pada kain, manakala badan berada di dalam buaian berkenaan.
Hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban merumuskan tekanan pada leher menjadi punca kematian bayi tersebut.