Nampaknya isu warga Rohingnya kembali menjadi topik hangat di kalangan netizen berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu.
Lebih membimbangkan apabila baru-baru ini pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Rohingya menyelinap masuk ke Malaysia melalui jalan laut namun berjaya dipatahkan Angkatan Tentera Malaysia (TUDM).
Dianggarkan terdapat lebih 200 orang berada di dalam bot dan cuba masuk ke negara namun dihalang kerana bimbang membawa kluster baharu Covid-19.
Duta Majlis Rohingya Eropah ke Malaysia, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi walau bagaimanapun menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan menolak bot sarat tersebut serta memohon agar kerajaan mengubah fikiran atas dasar kemanusiaan.
Tidak cukup dengan itu, seorang lelaki mendedahkan surat tuntutan oleh Presiden Rohingya Malaysia, Zafar Ahmad Abdul Ghani, menuntut beberapa ‘kelonggaran’ diberikan kepada pendatang Rohingya.
Difahamkan, surat tersebut ditulis kepada Menteri Sumber Manusia. Malah, menerusi surat itu seperti permohonan perlindungan daripada kerajaan.
Namun apa yang menjadi pertikaian netizen adalah isi yang terkandung dalam surat
tersebut yang mendakwa komuniti pelarian ini telah menyumbang kepada ekonomi negara sejak 30 tahun yang lalu.
Menerusi surat itu, turut disenaraikan lapan kesukaran yang dihadapi pendatang Rohingya di sini. Antaranya mereka mendakwa tidak diberi kebenaran bekerja untuk menampung hidup.
Selain itu, mereka mendakwa tidak mendapat perlindungan kemalangan ketika bekerja kerana tiada permit. Malah, kos rawatan yang terlalu tinggi menyukarkan lagi hidup mereka.
Dalam pada itu, mereka memohon agar kerajaan memberi kebenaran bekerja mengikut sektor yang sesuai. Malah, memohon agar majikan mewajibkan insurans sewaktu bekerja dan mengurangkan kos rawatan di hospital dan meminta agar pelarian tidak ditangkap di atas dasar kemanusiaan.
SUMBER: Muhammad Haiqal