Kebanyakan jalan raya di Malaysia akan sesak apabila waktu puncak sama ada memandu ke tempat kerja atau pulang dari kerja. Mungkin tidak sabar sampai ke destinasi, ada yang sesuka hati menggunakan laluan kecemasan.
Memang geleng kepala setiap kali kita melihat ada segelintir pemandu menggunakan laluan tersebut kerana tiada sikap sabar. Namun, pemandu kereta ini tidak bernasib baik apabila kantoi menggunakan laluan kecemasan dan ditahan oleh pihak polis.
Kejadian itu dirakam oleh pengguna lain yang memaparkan pemandu kereta hitam itu melulu laju ke laluan kecemasan namun secara tiba-tiba menukar lorong mungkin kerana ternampak ada pihak polis dihadapan.
Bagaimanapun, polis trafik yang bertugas nampak kesalahan yang dilakukan oleh pemandu berkenaan dan menahan kereta tersebut.
Difahamkan, video yang dikongsikan oleh Zakirin Muhammad itu berlaku semalam berdasarkan tarikh yang dipaparkan pada rakaman tersebut.
Diruangan komen, rata-rata netizen puas hati melihat pemandu berkenaan di tahan ‘on the spot’. Kata netizen lagi, pemandu seperti ini tidak boleh diberi muka dan patut disaman.
Apa pun diharap video yang dipaparkan ini akan menjadi pengajaran buat pemandu lain sama untuk sentiasa mematuhi undang-undang ketika berada di jalan raya.