Dek kerana suaminya terlalu sibuk dengan kerja dan hidup kesunyian, seorang wanita dari wilayah Jiangsu, China mengambil kesempatan untuk bermain kayu tiga dengan 300 orang lelaki.
Memetik laporan Eva.vn, wanita tersebut dikenali sebagai Zhang itu sudah mempunyai dua orang anak. Wanita berkenaan mencari kekasih gelap di media sosial berikutan kemurungan dihadapinya untuk menghilangkan kesunyian.
Zhang dikatakan mula menduakan suaminya sejak tiga tahun lalu selepas membuka akaun palsu di media sosial dengan nama Zhou Mo dan meletakkan statusnya sebagai ibu tunggal untuk menarik perhatian lelaki.
Sikapnya yang pandai menggoda memudahkannya mendapat teman lelaki walaupun tidak memuat naik gambar wajah sebenar. Lebih mengejutkan, wanita itu pernah bercinta lebih daripada seorang lelaki dalam satu masa.
Namun, tidak hanya setakat itu, Zhang mengambil kesempatan untuk menipu lelaki dikenalinya dengan meminjam wang daripada mereka. Zhang sanggup mereka cerita untuk meraih simpati demi mendapatkan apa yang diinginkan.
Pelbagai alasan diberikan untuk menjerat lelaki untuk mendapatkanwang antaranya membayar sewa rumah, kos rawatan perubatan dan mengurus anaknya.
Hasil penipuannya itu, Zhang berjaya meraih wang sebanyak 400,000 yuan (kira-kira RM249,000) daripada kesemua teman lelakinya.
Bagaimanapun penipuannya itu terbongkar Ogos tahun lalu apabila seorang teman lelakinya melakukan pemeriksaan latar belakang dan mendapati bahawa dia sudah ditipu. Lelaki tersebut kemudian membuat laporan polis mengenai wanita itu.
Zhang berjaya ditangkap sebulan kemudian dan mengakui sudah menghabiskan sebahagian besar wang diperoleh untuk bermain judi dalam talian.
Difahamkan, sepanjang tempoh penipuan wanita itu, suami dan anaknya tidak tahu menahu apa yang dilakukan olehnya. Suaminya terkejut dengan perkata itu namun gembira apabila penipuan isterinya terbongkar.
Zhang akhirnya dihadapkan ke mahkamah pada Ogos lalu dan dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun lima bulan dan denda sebanyak 40,000 yuan (kira-kira RM25,000).
Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.
SUMBER: Harian Metro