Jika anda masih ingat lagi, sekitar Ogos lalu harga emas mencatatkan harga tertinggi dalam sejarah dunia susulan COVID-19. Peningkatan harga tersebut sekaligus membuatkan ramai berpusu-pusu ke untuk membeli emas sebagai aset di masa hadapan.
Umum mengetahui baru-baru ini diumumkan penemuan vaksin COVID-19 sekaligus memberi kelegaan buat seluruh dunia. Namun penemuan tersebut sekaligus menjadi faktor utama penurunan harga emas secara mendadak.
Perunding Pelaburan Emas Syukor Hashim berkata, dari awal Januari sehingga Ogos, berlaku trend kenaikan harga emas sebanyak 37 peratus dan pernah melebihi RM300 segram, namun harga itu jatuh semula RM256 segram.
“Punca harga emas naik itu disebabkan ancaman Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi seluruh dunia dan orang ramai tidak berani berbelanja yang secara tidak langsung menyebabkan pelabur memilih emas sebagai aset selamat.
“Namun, apabila berita vaksin Covid-19 dijumpai tersebar, ia dilihat sedikit sebanyak mengurangkan risiko ancaman COVID-19 dengan pakar ekonomi dan pelaburan berpendapat ekonomi dunia akan kembali pulih. Justeru, dalam situasi ini emas dilihat hilang tarikan sebagai aset selamat,” katanya.
Terdahulu, kecoh apabila orang ramai berpusu-pusu ke kedai emas untuk mengambil peluang membeli barang kemas sebagai simpanan pelaburan sehingga ada antara mereka mengabaikan SOP semasa urusan jual beli.
Bagaimanapun, Syukor berkata tidak boleh menjangkakan penurunan harga emas akan berakhir kerana ia dipengaruhi berita dari semasa ke semasa yang memberi kesan kepada naik turun harga emas.
Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.
SUMBER: Harian Metro