Sejak dua hari lalu, hangat diperkatakan mengenai video berdurasi dua minit iklan mempromosikan aktiviti perjudian atas talian sempena Hari Raya.
Terbaru, pihak polis telah menahan lima lelaki dan tiga wanita yang dikesan terbabit dalam pembikinan iklan tersebut semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, kesemua mereka berusia di antara 24 dan 47 tahun itu akan direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Dalam pada itu, polis memberitahu kesemua mereka mengaku menerima bayaran sebanyak RM180 setiap seorang untuk berlakon dalam iklan berkenaan.
“Kesemua mereka mengaku menerima bayaran untuk berlakon dalam iklan berdurasi 2 minit satu saat itu sebanyak RM180 seorang,” katanya.
Terdahulu, tiga pelakon muzik video berkenaan tampil mendakwa mereka mendapat tawaran bagi menjayakan rakaman sempena Hari Raya, namun pemilik merahsiakan nama jenama mereka.
“Sudah jadi kebiasaan pemilik brand nak rahsiakan produk mereka… malah semasa kita buat penggambaran pun mereka cakap jangan ambil (rakam) video, jangan beritahu sesiapa sebab surprise,” kata salah seorang pelakon pembantu.
Katanya lagi, dia dan pelakon lain menyedari mereka mereka terlibat dalam iklan mempromosi judi pada hari penggambaran, 13 Mac lalu.
Malah, dia akui kesal kerana tidak berani untuk menarik diri daripada meneruskan penggambaran itu. Ujarnya, ketika menerima tawaran tersebut dia mengambil tanpa bertanya soalan kerana terdesak.
“Kami desperate, freelance macam kami terjejas teruk. Apabila dapat job ni saya ambil je tanpa banyak tanya soalan. Untuk job ni mereka bayar pun sikit sangat. Kita buat sebab tak ada cara lain cari duit… kami freelancer.
“Masa awal-awal memang berkaitan raya, tapi apabila masuk bahagian kedua di penghujung penggambaran baru kami sedar ia adalah judi,” katanya.
SUMBER: Astro Awani & mStar