Dakwa Dapat Kembalikan Keperawanan Wanita, Selaput Dara Tiruan Dijual Secara Online RM180

Topik mengenai perawan atau dara bukanlah isu terbuka untuk dibincangkan terutama buat bakal pengantin. Malah, ada gadis yang bimbang jika kisah hitam mereka terbongkar jika tidak mengalami pendarahan ketika malam pertama.

Siapa sangka, hasil tinjauan mStar Online di sebuah platform e-dagang terkenal mendapati ada pihak menjual ‘selaput dara tiruan’ kononnya didakwa dapat mengembalikan keperawanan.

Lebih mengejutkan barangan itu dijual pada harga agak mahal RM180 dan sehingga kini sebanyak 130 set selaput dara tiruan dijual oleh peniaga itu.

Menerusi deskripsi produk, turut ditulis barangan tersebut dapat mengembalikan dara tanpa perlu melakukan sebarang pembedahan dan tidak menyakitkan.

Difahamkan, produk berkenaan dibuat menggunakan red dye liquid yang memberi kesan seakan-akan darah manusia yang sebenar.

Menerusi tutorial yang disediakan peniaga tersebut, pembeli harus memasukkan paket aluminium berisi ‘selaput dara tiruan’ tersebut ke dalam faraj menggunakan jari telunjuk.

Selaput dara tiruan itu perlu berada dalam alat sulit wanita tidak lebih 30 minit sebelum aktiviti seksual dilakukan.

Lebih mengejutkan, beberapa pembeli tempatan turut meninggalkan komen serta memberi rating lima bintang terhadap produk berkenaan. Berdasarkan tarikh komen pembeli, penjualan barangan itu sudah dilakukan sejak tahun lalu.

“Lagi sebulan nak guna.. Free gift dapat banyak. Semoga seller dimurahkan rezeki,” tulis seorang pembeli.

Difahamkan, penjualan produk itu bukan sesuatu yang baru. Pada 2019, Amazon telah menarik balik penjualan produk itu kerana telah menimbulkan kemarahan di negara India.

Malah, produk itu juga pernah mencetuskan perdebatan dalam kalangan Ahli Parlimen di Mesir dan juga United Kingdom (UK).

SUMBER: mStar Online