Suami Bangga Penggal Kepala Isteri Didakwa Curang Dengan Lelaki Lain

Seorang lelaki di Tehran tergamak memenggal kepala isterinya demi menjaga maruah keluarga selepas wanita itu cuba melarikan diri dari negara tersebut.

Lebih mengejutkan, turut tular video lelaki berkenaan berjalan di jalanan sambil membawa kepala isterinya yang terputus.

Malah, video itu turut memaparkan si suami tersengih sambil memegang pisau dan kepala isterinya yang terputus.

Memetik laporan Daily Mail, lelaki berkenaan yang tidak didedahkan identitinya itu membunuh isterinya, Mona Heydari berusia 17 tahun di bandar Ahvaz, barat daya Iran, Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa melarikan diri ke Turki selepas keluarganya mengetahui dia mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Bagaimanapun, Mona berjaya dikesan oleh bapa dan suami Mona yang kemudian membawa pulang wanita itu ke Iran, minggu lalu.

Laporan memberitahu Mona dikahwinkan dengan lelaki tersebut ketika berusia 12 tahun yang juga merupakan sepupunya dan pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki kini berusia tiga tahun.

Pihak berkuasa menahan suami mangsa dan abang kepada lelaki itu atas tuduhan membunuh Mona sebagai membalas dendam kerana melakukan zina dan meninggalkan keluarganya.

Difahamkan, kedua-dua defendan mengaku melakukan pembunuhan itu ketika dalam siasatan.

SUMBER: Utusan