15 Hari Larikan Diri, Suspek Macau Scam Lompat Pagar SPRM Berjaya Ditahan

Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila suspek utama Macau Scam berjaya melarikan diri daripada SPRM. Kes itu sekaligus mencetuskan persoalan netizen bagaimana suspek tersebut boleh panjat pagar bangunan berkenaan.

Nampak selepas 15 hari melarikan diri, suspek Macau Scam itu iaitu Goh Leong Yeong @ Alvin berjaya ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 1.20 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek ditahan bersama seorang wanita di luar Lembah Klang. Difahamkan suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi tujuan permohonan reman.

Difahamkan, Alvin telah ditahan di Genting Highland susulan operasi khas diadakan polis yang memburu suspek.

Dalam kejadian 11 Oktober lalu, lelaki itu bersama tiga lagi suspek terdiri daripada dalang utama serta dua anggota polis dalam proses diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Sebelum ini anggota polis berpangkat koperal serta lelaki bergelar Datuk direman selama 21 hari bermula semalam sehingga 3 November depan bagi membantu siasatan kes perjudian atas talian di Cheras.

Setakat ini, SPRM telah membekukan kira-kira RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta serta merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

SUMBER: Harian Metro