2 Beradik Petah Berpantun Tegur Ahli Politik Isu COVID-19 Dapat Perhatian Tunku Azizah

Pasti ramai mengenali dua kanak-kanak cilik ini yang memang terkenal di kalangan pengguna media sosial dengan kepetahan mereka berpantun.

Nampaknya, Raja Muhammad Mikael, 5 dan kakaknya Raja Farhana, 7 sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila berpantun mengenai krisis politik di Malaysia ketika negara masih berperang dengan COVID-19.

Bapa kepada dua kanak-kanak itu, Raja Faizul berkata pantun berkenaan mamaparkan mesej mengenai situasi semasa dalam negara dan berharap semua pihak terbuka hati untuk menerima teguran.

Kata Raja Faizul lagi, pantun itu dirakam pada Rabu lalu dan kedua-dua anaknya mengambil masa kurang 24 jam untuk menghafal skrip berkenaan.

Malah, video tersebut turut mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkongsikan telatah dua kanak-kanak itu menerusi Instagram baginda.

Faizul berkata dia terharu apabila video itu turut ditonton oleh Tunku Azizah dan bersyukur apabila menerima komen positif daripada netizen.

“Alhamdulillah tiada yang kecam. Ini pun sekadar pantun santai-santai. InsyaAllah mudah untuk diterima semua. Setakat ini tiada yang kutuk-kutuk walaupun pantun itu ada selit mengenai politik,” katanya.

SUMBER: mStar Online