21 Tahun Jadi Anak Tunggal, Sekali Mak ‘Hadiahkan’ Adik Baru & Akhirnya Hidup Gadis Ini Berubah

Bukan mudah untuk menerima ahli baru terutama adik baru apatah lagi selepas bertahun lamanya menjadi anak kesayangan dan mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu ayah.

Baru-baru ini tular video TikTok dikongsikan oleh seorang gadis bernama Amiera Fazlyatun Nadya ini, selepas lebih 21 tahun bergelar anak tunggal, dia mendapat adik baru.

Memetik mStar Online, Amiera berkata sebaik sahaja ibunya memaklumkan sedang hamil cahaya mata kedua dunianya seakan terhenti seketika.

Katanya, pada awalnya dia menyangkakan ibunya hanya main-main apabila berkongsi gambar kit ujian kehamilan di dalam grup WhatsApp keluarga.

“Dalam group cuma ada saya, ayah dengan mama je. Masa tu ingat mama main-main je, tapi bila balik kerja terus tengok, memang ada dekat rumah

“Masa tu perasaan bercampur baur, macam-macam saya fikir,” katanya.

Menurut Amiera walaupun gembira untuk ibu bapanya namun akui bimbang apabila memikirkan mengenai ibunya yang dikategorikan berisiko mengandung dan pernah mengalami keguguran sebelum ini.

“Mama saya berusia 37 tahun, jadi dia dah masuk dalam kategori golongan berisiko untuk mengandung. Hati saya takut kehilangan mama sebab boleh kata setiap bulan mama akan check in hospital, sampai saya terdetik biarlah mama tak mengandung, sebab saya rasa kehamilan inilah jadi penyebab dia selalu keluar masuk hospital.

“Sebelum ni mama pernah mengalami keguguran, jadi kali ini kami tak terlalu berharap.

“Tapi dah rezeki kami terima. Alhamdullilah, dua bulan sebelum adik saya keluar semuanya okay, kesihatan mama semakin baik, dan bila bersalin pun Alhamdullilah mama dan baby sihat dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Amiera mengakui bimbang memikirkan nasib dirinya menerima ahli baru kerana sering dimarahi ketika ibunya sedang hamil.

“Memang perasaan tu ada, terutama masa mama pregnant dia selalu marah-marah saya jadi saya risau sebab baby belum keluar pun saya dah kena marah, apatah lagi kalau dah dilahirkan.

“Memang masa tu ada je benda tak kena di mata saya, sampai satu tahap saya menangis seorang diri. Saya ingat lagi masa hari raya, tiba-tiba kena marah, lepas tu mama tiba-tiba nak touching dengan saya, memang itulah momen yang paling sedih,” katanya.

Bagaimanapun, Amiera berkata ibu bapanya meyakinkan dirinya bahawa kasih sayang mereka tak akan berubah dan dia akan tetap dilayan sama rata.

“Masa mula-mula saya sedih tu mama tak tahu, saya cuma luahkan dekat makcik je, jadi makcik yang bagi nasihat suruh saya sabar sebab mungkin ibu marah-marah sebab pembawakan budak.

“Tapi lepas tu mama dengan ayah pun ada cakap, kakak jangan risau, macam mana pun mama dengan ayah akan beri layanan sama rata dekat kakak dengan adik nanti,” katanya.

SUMBER: mStar Online