Sebut sahaja Kajang, pasti ramai tahu ianya merupakan ‘syurga sate’. Kalau teringin nak makan sate, singgah sahaja di Kajang, memang ada bermacam-macam jenis sate di sana.
Bagaimanapun, baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai satu isu apabila Sate Rono Kajang ada memuat naik perkongsian di Facebook mengenai pelanggan makan ‘lari’ tanpa membuat pembayaran.
Difahamkan, kejadian berlaku pada Ahad yang lalu dan pihaknya menuntut pelanggan tersebut melunaskan pembayaran makanan.
Namun, apa yang mengejutkan, kejadian itu bukanlah pertama kali berlaku. Menurut mereka, pelanggan tersebut sudah berbuat demikian sebanyak 3 kali.
Tegasnya, jika pelanggan tersebut gagal menghubungi mereka untuk membuat pembayaran, pihaknya akan memuat naik video CCTV yang menunjukkan pelanggan tersebut keluar tanpa membuat pembayaran.
Menerusi satu lagi kenyataan, pihak Sate Rono Kajang memaklumkan tujuan perkongsian itu adalah untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada si pelaku dan orang ramai agar kejadian itu tidak lagi berulang.
Dalam pada itu, pihak Sate Rono Kajang mendedahkan si pelaku menggunakan taktik datang ketika ramai orang dan sekaligus suka untuk mengecam semua pelanggan yang keluar masuk kedai.
Katanya lagi, pihak mereka turut menerima mesej daripada netizen yang baik hati yang mahu melunaskan bayaran tersebut, namun mereka tetap mahukan si pelaku yang membayarnya.