3 Punca Kenapa Cik B Selalu Jadi Mangsa Buli Di Laman Sosial

Kehidupan bermasyarakat sememangnya membuatkan kita terdedah kepada pelbagai ragam dan kelakuan berbeza setiap individu. Perkara ini jugalah yang mencorak kepelbagaian dalam kehidupan.

BACA: Menteri Kesihatan Enggan Hadir, Pengacara Ini Terpaksa Temuramah Kerusi Kosong

Namun ketika zaman kepesatan laman sosial media sekarang, kadang kala kita pun terlajak dalam menilai hidup orang lain.

Begitulah setiap kali yang terjadi kepada Cik B iaitu anak kepada Dato’ Seri Vida. Kenapa Cik B? Sebab Cik B adalah figura yang sentiasa menjadi perhatian.

Namun dalam masa yang sama, situasi Cik B ini boleh jadi contoh kepada sesiapa jua yang sentiasa menjadi perhatian dan mangsa kecaman di laman sosial.

Kami kongsi sikit beberapa perkara yang dilihat mungkin menjadi sebab situasi ini selalu terjadi.

1. Populariti Ibu

Tidak dinafikan, populariti Dato’ Vida pada satu ketika dahulu memang melonjak naik. Setiap kereta dan pelusuk rumah, kisah keluarga dan macam-macam lagi dikongsikan kepada semua.

Dan apabila berbicara mengenai keluarga, sedikit sebanyak perkara ini turut terpalit kepada anak-anaknya. Lumrah menjadi selebriti, selagi boleh korek, orang akan korek mengenai kehidupan belakang tabir.

2. Perbezaan Gaya Hidup

Perbezaan gaya hidup ini lebih kepada jurang kehidupan dan juga perkara yang bukan menjadi kebiasaan.

Iyalah, kalau diingat balik sebelum ini, hadiah-hadiah yang Vida berikan kepada anaknya bukan kecil-kecil. Sedangkan kehidupan normal di Malaysia ini mak bapak tidaklah semewah itu.

Oleh kerana jurang inilah yang dilihat bukan kebiasaan (normal), kita mudah untuk melemparkan sangkaan kepada mereka.

Contoh mudah, bila kawan baik yang setaraf selama ini dengan kita tiba-tiba beli kereta baru, mulalah mulut nak bercerita, betul tak?

Baru-baru ini pula Cik B dikecam gara-gara fesyen yang digayakan. Sebenarnya tak pelik pun tapi entahlah, itu pun boleh jadi isu.

3. Ketagihan Masyarakat Dalam Bersuara

Dulu masa zaman tiada smartphone, kita setakat berborak sajalah. Paling jauh nak bergosip pun, melalui panggilan telefon. Tapi berbeza dah sekarang, asal boleh taip, taip terus komen.

Ini macam sudah jadi satu ketagihan dan biasanya yang meninggalkan komen tidak bernas ini pun ada masalah jiwa atau mungkin menjadi mangsa buli. Bila di sosial media, personaliti kita boleh berubah menjadi berbeza.

Semuanya kita saja yang betul dan orang lain di laman sosial adalah mangsa-mangsa untuk kita kecam. Perlakuan ini sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan atau kekurangan diri pelaku itu sendiri tapi realitinya, jiwa pelaku itu sakit dan mahukan perhatian.

Realiti Kehidupan Mendatang

Sebenarnya apa yang terjadi pada Cik B adalah satu perkara yang turut terjadi pada orang lain di sekeliling kita.

Ibu bapa pun dalam masa yang sama kena main peranan jugak. Setiap tindakan yang mendedahkan kehidupan anak secara melampau kepada laman sosial juga turut boleh mengundang tekanan dan trauma kepada mereka.

Apa pun, semoga kita semua mampu mengharungi kehidupan mendatang yang pastinya lebih mencabar, sama ada menjaga adab untuk diri sendiri mahu pun mengawal perlakuan anak.