Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas lebih lima jam ditinggalkan dalam kereta dipandu seorang pengetua sebuah tadika di Taman Ria, Sungai Petani, semalam.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari tadika ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Memetik laporan BH Online, ibu kepada kanak-kanak tersebut Nor Azira Abdul Halim redha dengan pemergian anaknya namun sebagai ibu dia dapat merasakan anaknya itu menahan kesakitan sebelum pergi.
“Naluri saya sebagai ibu dapat rasakan anak menahan sakit sebelum dia menghembuskan nafas kerana saya nampak bibirnya kehitaman.
“Namun, saya redha dengan pemergiannya kerana Allah hanya pinjamkan arwah untuk kami sekeluarga bersamanya sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Difahamkan, kanak-kanak itu dipercayai berada dalam kereta yang di parkir berhampiran tadika berkenaan antara jam 8 pagi hingga 12.15 tengah hari semalam.
Pengetua wanita berusia 49 thaun itu hanya menyedari Muhammad Harraz Aryan tiada di tadika berkenaan jam 12.15 tengah hari dan mendapati sudah tidak sedarkan diri di dalam kereta.
Menurut Azira, dia maklumkan anaknya diletakkan di bahagian belakang penumpang kereta, manakala seorang lagi kanak-kanak diletak di bahagian depan dan mungkin guru itu tidak sedar anaknya di belakang.
Katanya, setiap hari dia akan menghantar anaknya ke tadika itu, namun disebabkan dia bekerja di Pulau Pinang pada hari Selasa dan Rabu, dia meminta tolong pengetua berkenaan mengambil anaknya di rumah.
“Ketika kejadian semalam saya sedang bertugas di bangunan Komtar di Pulau Pinang dan bergegas pulang sebaik menerima panggilan dari guru anak saya jam 12.25 tengah hari.
“Mulanya saya ingat anak saya kemalangan sebab tadika itu terletak berhampiran jalan, tetapi tiba-tiba guru yang menghubungi saya menangis dan memberitahu anak saya tak sedarkan diri,” katanya.
Katanya, sebaik tiba di hospital dia berasa tidak sedap hati apabila melihat jasad anaknya di unit forensik hospital itu dan dimaklumkan sudah meninggal dunia.
“Arwah memang anak yang aktif ketika di rumah, namun ketika di sekolah dia banyak diam mungkin dia takut dengan guru.
“Cuma saya tak tahu bila anak saya meninggal dunia kerana berada dalam kereta itu sejak jam 8 pagi sebelum disedari jam 12.15 tengah hari.
“Tak nampak langsung perubahan pada arwah dan merengek itu perkara biasalah,” katanya.
Jenazah Muhammad Harraz Aryan kemudian dibawa dari HSB ke rumahnya di Sungai Petani dan dijangka dikebumikan hari ini.
SUMBER: BH Online