Setiap pasangan yang bercinta pasti impikan hubungan yang dibina kekal hingga ke gerbang perkahwinan. Namun, tiada siapa dapat meramal masa depan dan jodoh dengan siapa.
Baru-baru ini tular perkongsian seorang wanita di laman Twitter dikenali sebagai Rosmiza Rozman berkongsikan kisah pernah dikecewakan bekas kekasih dan keluarga lelaki berkenan.
Menurutnya, dia masih ingat lagi bakal mertua pernah memberitahu hanya inginkan menantu yang bekerja dalam sektor kerajaan.
Bukan itu sahaja, bekas kekasihnya itu juga pernah kantoi ada perempuan lain dan pernah merendahkan dirinya serta impiannya.
“Kenal dia (bekas kekasih) semasa umur 16 tahun tapi selepas itu, saya sambung matrikulasi manakala dia pula ke universiti awam dan kami bercinta jarak jauh.
“Dia pernah kantoi kerana ada perempuan lain, tapi kami berbaik semula sehingga saya sambung pengajian peringkat ijazah dan dia ambil diploma menerusi panggilan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Ingat lagi saya kongsi nanti habis belajar saya nak kerja keras sebab saya nak beli kereta jenis Volkswagen tapi dia hanya gelakkan dan jawab, kereta itu mahal. Awak keluarga pun susah, beli kereta Perodua Myvi mampulah,” katanya.
Ujarnya lagi, sehinggalah suatu hari dia menghubungi ibu bekas kekasihnya namun kehadirannya tidak diterima keluarga itu serta memintanya supaya jangan berangan untuk hidup mewah.
“Makcik nak menantu kerja kerajaan (penjawat awam), awak asal keluarga susah dan jangan berangan nak hidup mewah,” kongsinya.
Meskipun berdepan pengalaman pahit itu, namun ia tidak mematahkan semangat wanita itu terus bangkit mencipta kejayaan sendiri.
Wanita itu turut berkongsikan, selepas lima tahun bekerja sebagai perunding kewangan ida berjaya membeli rumah dan kereta mewah.
SUMBER: Kosmo!