Setiap kali hari raya, pasti kita tidak melepaskan peluang untuk ziarah menziarahi sanak saudara apatah lagi selepas dua tahun beraya dalam suasana pandemik.
Namun, buat mereka yang ada anak kecil penting untuk memantau pergerakan anak ketika beraya kerana bimbang merosakkan harta benda tuan rumah.
Seperti yang dikongsikan oleh seorang pemuda menggunakan nama @leng ini yang kesal apabila koleksi permainan patung figura dirosakkan oleh anak tetamu yang datang beraya ke rumahnya.
Menurut pemuda berkenaan, dia balik sahaja dari kerja namun melihat patung figura koleksinya sudah musnah dan rosak.
Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang bersimpati dengan apa yang menimpa pemuda itu apatah lagi difahamkan harga patung figura itu berharga ratusan ringgit.
Tidak kurang juga, ada yang memberikan pesanan kepada ibu bapa yang membawa anak-anak beraya supaya memerhatikan kelakuan anak mereka supaya perkara seperti ini tidak berlaku.
Dalam pada itu, ada netizen mengatakan jika berada di tempat pemuda itu pasti mereka akan meminta ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan untuk membayar ganti rugi sebagai pengajaran.