Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai seorang Youtuber dikenali sebagai Sabrina Azhar yang dikecam netizen selepas muncul dalam temubual bersama BBC.
Dalam temu bual tersebut, gadis berusia 22 tahun itu berkata hobinya itu tidak salah selagi dia tidak memudaratkan orang lain. Malah, YouTuber itu turut menggalak hijabis lain untuk tidak takut menujukkan bakat mereka serta tidak menjadikan hijab itu sebagai satu penghalang.
Video temu bual tersebut turut mendapat perhatian pendakwah, Ustazah Asma’ Harun yang turut terkejut dengan kenyataan gadis berkenaan.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, Ustazah Asma memberikan teguran serta pesanan buat gadis itu bahawa sebagai wanita Islam cara hidup kita bukan bersandarkan kepada logik akal tetapi ada garis panduan menurut Al-Quran.
Ujarnya lagi, video menari sepatutnya disimpan untuk tatapan peribadi namun pada zaman kini ramai yang tiada segan silu memuat naik untuk tatapan umum.
Kata Ustazah Asma lagi, tindakan tersebut akan beri kesan di masa hadapan dimana jika suatu hari nanti ingin bertaubat bagaimana pula dengan video yang telah dimuat turun oleh orang ramai.
“Mungkin kita berbangga mendapat jutaan ‘followers’ dan ‘viewers’ apabila memuat naik video-video tarian, namun tidak terfikirkah andai satu hari nanti ingin bertaubat, dosa kita insyaAllah boleh terpadam dengan taubat nasuha, namun bagaimana dengan video-video tarian lama yang telah didownload oleh orang ramai?
“Bagaimana pula jika tidak sempat bertaubat lalu ajal terlebih dahulu menyapa kita? Dosanya kita tanggung secara berterusan walau sudah berada di alam kubur,” tulisnya.
Dalam pada itu, Ustazah Asma berkata Islam tidaka melarang untuk berfikiran terbuka tetapi tidak sampai melanggar batas agama.
Islam menggalakkan perkembangan seni
Katanya lagi, Islam juga menggalakkan perkembangan seni dalam agama selagi ianya bermanfaat tetapi bukan sehingga melalaikan serta mendatangkan fitnah kepada umat Islam.
“Sungguh saya menuliskan ini daripada hati yang sayang akan kamu, apatah lagi usiamu masih muda remaja. Ingatlah bahawa kemasyhuran, pengaruh, bakat dan kecantikan bukanlah satu anugerah apabila digunakan untuk maksiat, sebaliknya ia adalah sebuah musibah.
“Sedarkah kita, Sungguh Maha Baiknya Allah SWT, walau kita berbuat sesuatu yang dimurkai-Nya, Dia tetap memberikan segala yang kita mahu dan perlu. Maka balaslah kasih sayang Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya,” tulisnya.
Diakhir perkongsian itu, Ustazah Asma sempat menitipkan pesanan kepada influencer di luar sana supaya menjadi individu bertanggungjawab kepada masyarakat Islam serta membawa imej yang baik.