“Saya Maafkan Dia, Tak Pernah Kecil Hati Dengan Dia” – Didie Alias

Semalam industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian pelakon Allahyarham Ridzuan Hashim akibat serangan jantung.

Menerusi temu bual bersama Melodi, pelakon Didie Alias berkata kali terakhir dia bertemu dengan bekas suaminya itu ketika sambutan Aidilfitri.

Menurut Didie, mereka kembali berkumpul satu keluarga sejak tiga tahun lalu selepas sudah lama tidak berjumpa sejak bercerai 20 tahun lalu.

Katanya lagi, dia pernah berbincang dengan anak-anak serta meminta untuk menemani bapa mereka kerana bimbang akan pelakon itu yang tinggal sendirian.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MELODI TV3 OFFICIAL (@meloditv3)

“Sepanjang arwah tak sihat, saya memang minta anak-anak tengokkan dia. Kami sebenarnya dah lama tak berjumpa, dah lebih 20 tahun.

“Dalam dua tiga tahun ini, Allah gabungkan kami sebelum dia pergi. Dapat la anak-anak jaga dan bagi kasih sayang kepada dia termasuk anak saya dengan suami baru,” katanya.

Dalam pada itu, Didie berkata dia memaafkan arwah serta mengatakan bahawa dia tidak pernah terasa hati dengan  bekas suaminya itu.

“Saya reda dengan pemergian dia kerana tahu tak sihat. Dia pun tak nak susahkan anak-anak kerana tahu ada tanggungjawab. Ada yang dah berumah tangga dan sambung belajar.

“Saya maafkan dia. Saya tak pernah kecil hati dengan dia. Saya halalkan semuanya. Semoga perjalanan dia hari ini baik-baik saja,” katanya.

Terdahulu, Didie mendirikan rumah tangga dengan Ridzuan pada 1991 dan bercerai pada 2002. Pasangan itu dikurniakan lima orang cahaya mata.

SUMBER: IG Melodi