Dalam kehidupan rumah tangga bukan sahaja pasangan itu perlu bersama ketika susah senang tetapi kekal setia walaupun pasangan jatuh sakit atau tidak lagi dapat menjalani kehidupan sempurna.
Amat bertuah seorang isteri apabila bukan sahaja dikurniakan seorang suami yang memenuhi ciri-ciri idaman malah setia sepanjang hayat.
Seperti yang dikongsikan oleh pengguna Facebook ini Aklaken Sulaiman yang cemburu dan kagum dengan pasangan suami isteri ini yang merupakan rakannya.
Menurutnya, ketika rakannya Halizah Md Arif diuji menghidap kanser tahap akhir, suaminya Mohamad Fouzi setia bersama untuk menjaga isterinya itu serta menguruskan tiga anak mereka.
Ujarnya lagi, si suami langsung tidak mengeluh untuk memandikan serta menukar lampin isterinya. Dia turut memuji suami rakannya itu seorang yang sangat hebat kerana segala kerja rumah digalasnya.
Melihatkan dugaan hidup yang dilalui rakannya itu membuatkan dirinya muhasabah diri dan bersyukur di atas segala nikmat.
Bagaimanapun, pada awal Jun lalu, suami rakannya itu dimasukkan ke ICU kerana jangkitan dalam darah dan gagal diselamatkan.
Rakannya itu ada memberitahu suaminya mengadu sakit namun enggan ke hospital kerana jika dia tiada siapa yang akan menjaga isteri serta-anak-anak di rumah.
Selepas suaminya meninggal, anak-anak pula yang mengambil tanggungjawab menjaga ibu mereka yang sakit. Disaat anak-anak orang lain sibuk bermain, anaknya di rumah menjaga ibu mereka dan tukarkan lampin.
Selepas sekian lama berjuang, rakannya itu pula dijemput menghadap Ilahi pada 16 Ogos lalu.
Akui cemburu dengan kisah hidup suami isteri itu, dia turut tertanya-tanya apa amalan rakannya itu dikurniakan suami dan anak-anak yang baik serta mengambil iktibar tentang kasih sayang sebuah keluarga.
SUMBER: Facebook Aklaken Sulaiman