Sudah dua kali diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan akan kembali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Menurut Tun M, ia berikutan terdapat permintaan daripada penyokongnya yang tidak membenarkan beliau bersara. Ujarnya, beliau pernah mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU15 namun perkara itu tidak disenangi oleh penyokongnya.
“Mereka (penyokong) masih mahu saya bertanding. Ada benarnya, kebanyakan orang pada usia 95 tahun sudah tidak lagi aktif. Saya bernasib baik, saya masih berpeluang aktif.
“Namun begitu, mereka nampaknya tidak fikir bahawa saya akan merosot apabila usia makin meningkat. Mereka melihat saya seperti saya sekarang. Jadi, mereka, mahu saya sekurang-kurangnya tidak berkata yang saya tidak akan bertanding (PRU15) kelak,” katanya.
Hujung September lalu, Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU15, bagaimanapun beliau akan kekal dalam arena politik untuk tempoh masa yang pendek.
Tegasnya, meskipun tidak akan bertanding lagi, namun itu beliau akan tetap meneruskan usahanya melawan gejala rasuah melalui parti baharunya, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dalam pada itu, Mahathir berkata, beliau tidak dapat bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beranggapan penggantinya itu menggunakan strategi seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ‘melemahkan’ semua pihak yang menentangnya.
“Bagaimana mungkin saya dapat menerima Muhyiddin seperti itu?” katanya.
Dr Mahathir juga menegaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga sedia bekerjasama dengan Najib kerana ‘politik lebih penting berbanding prinsip’.
SUMBER: Astro Awani