Ramai yang terkesan dan terjejas pendapatan sehingga ada yang diberhentikan apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik wabak COVID-19.
Melihatkan keadaan sekarang, ada yang sebelum ini mempunyai kerja tetap namun diberhentikan kerana syarikat berdepan masalah kewangan, kini melakukan pelbagai kerja demi menampung kehidupan.
Baru-baru ini, tular di media sosial iklan jawatan kosong di sebuah gerai nasi lemak dikatakan menawarkan gaji sehingga RM1,800. Sehinggakan ada netizen mengatakan gaji yang ditawarkan adalah lebih baik dari pekerjaan di industri lain.
Memetik portal The Vocket, pemilik gerai nasi lemak berkenaan iaitu @hariyantiharun mengatakan tawaran gaji bermula RM1,500 sehingga RM1,800 itu adalah apa yang memang ditawarkan gerai mereka.
Namun, Hayati menjelaskan bukan hanya perlu menjaga gerai sahaja ada tambahan tugas-tugas lain yang perlu dilakukan oleh pekerja.
Tambahnya lagi, tugas-tugas yang diberikan itu bukan mudah untuk dilakukan lebih-lebih lagi waktu bekerja yang bermula awal pagi. Katanya lagi, gaji yang ditawarkan adalah berbaloi dengan tanggungjawab yang perlu dilakukan pekerja.
Namun, Hariyanti mendedahkan perkara mengejutkan meskipun gaji yang ditawarkan tinggi namun tidak semua yang bekerja dengan mereka sebelum ini mampu untuk bertahan lama.
“Kalau mereka kata (kerja) berat kami dah sediakan lauk siap dari central kitchen, nasi pun dah masak separuh.
“Hanya ada beberapa (kerja) macam kukus nasi dan goreng ayam di gerai. Mungkin salah pilih pekerja,” katanya.
Menurut Hariyanti sejak iklan jawatan kosong itu tular sudah ada beberapa inidvidu yang tampil untuk memohon kerja dengannya namun mereka tidak memberikan respon sebaik sahaja mengetahui waktu bekerja yang bermula seawal jam 6 pagi.
Hariyanti turut menasihatkan agar mereka yang mencari kerja tidak perlu memilih waktu kerja kerana jika waktu bekerja ditetapkan awal mereka mempunyai banyak masa untuk berehat lebih awal.
“Nasihat saya, tak perlulah memilih jam waktu bekerja jika berniat betul-betul hendak bekerja. Kerja awal dan biarlah rehat awal juga,” pesannya.
SUMBER: The Vocket