Boleh dikatakan ramai anak muda kini bekerja dalam bidang yang berbeza dengan bidang yang diambil ketika universiti. Malah, ramai juga yang menceburkan diri dalam dunia perniagaan kerana minat yang mendalam.
Seperti yang dilakukan oleh seorang gadis ini yang melanjutkan pengajian di luar negara namun kini mengusahakan perniagaan tauhu bergedil.
Bagaimanapun, perjalanan yang dilalui oleh Nor Hafizhatul Haq Mohd Ruslan bukan mudah yang terpaksa berdepan dengan kata-kata sindiran ‘makcik bawang’ yang mempersoalkan jalan yang dipilih olehnya untuk menjual tauhu bergedil.
Melanjutkan pelajaran di Univerisiti of Derby di England dari 2015 hingga 2017, Hafizhatul berkata dia sebenarnya tawar hati belajar dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Bina pada tiga minggu pertama menjejakkan kaki ke sana.
“Masa tu rasa nak packing beg nak balik Malaysia. Saya menangis sebab tak ada hati nak belajar dalam jurusan ni tapi peluang itu diambil kerana pengajian atas tajaan.
“Mak dari jauh berpesan pada saya untuk terus bertahan, banyakkan doa agar diberikan kekuatan. Saya fikir kalau mak boleh besarkan saya dengan baik sehingga hari ini, takkan saya tak boleh bertahan untuk mak ayah,” katanya.
Sekembali di tanah air, dia hanya bertahan selama beberapa bulan bekerja di sebuah syarikat sebelum memutuskan untuk menjual tauhu bergedil secara kecil-kecilan.
Namun, tindakannya itu menimbulkan cakap-cakap berbaur sinis dalam kelangan jiran termasuk kenalan ibu bapanya yang mempersoalkan belajar sampai ke luar negara tetapi pulang ke Malaysia hanya jual tauhu bergedil.
Katanya lagi, ada yang mengatakan dia gagal belajar di luar negara disebabkan itu dia balik ke Malaysia menjual bergedil.
Ujarnya, pada awalnya dia malas mahu melayan makcik-makcik bawang, namun dia memuat naik gambar konvokesyennya untuk membuktikan bahwa dia bukannya gagal seperti yang didakwa.
Berkongsi tentang bisnes tauhu bergedilnya yang bermula hanya daripada penghantaran Cash On Delivery (COD) sehinggalah dia kini berjaya membuka sebuah kafe di Kuantan.
“Disebabkan perminataan tinggi, saya memutuskan untuk membuka sebuah restoran di Kuantan yang turut menjual masakan Melayu selain tauhu bergedil,” katanya.
Dalam pada itu, Hafizha berkata tidak bermakna jika belajar sesuatu bidang itu kita perlu bekerja dalam bidang sama selepas tamat belajar kerana rezeki ada dimana-mana sekirnya tidak berputus asa dan usaha.
SUMBER: mStar