Di zaman serba mencabar ini diakui bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan dan tidak hairan semakin ramai graduan menganggur serta tidak dapat bekerja dalam bidang yang diambil ketika di universiti.
Seperti gadis ini, Nur Amni ‘Aqilah Ruzaini yang merupakan lepasan diploma terpaksa melupakan hasrat untuk makan gaji dan kini menggantikan tempat bapanya sebagai penebar roti canai di kedai makan milik keluarganya.
Meskipun tugas sebagai penebar roti canai itu biasanya sinonim dengan kaum lelaki, namun Aqilah tidak kekok untuk melakukan tugas tersebut.
Namun ada kisah di sebalik tugasnya sebagai penebar roti canai itu. Mula menjadi penebar roti canai sejak 2015, Aqilah menggalas tugas bbapanya yang terlantar sakit selama sebulan.
“Saya mula jadi penebar roti canai pada 2015 selepas ayah saya terlantar sakit selama sebulan akibat terjatuh longkang. Sebagai anak sulung daripada tiga beradik saya menggalas tanggungjawab untuk bantu ayah buat roti canai sebab tidak ada pengganti.
“Saya cuba sedaya upaya menebar roti canai dan saya sudah tengok cara ayah menebar roti sejak kecil lagi di kedai ayah yang sudah beroperasi hampir 30 tahun lalu,” katanya.
Kerjaya penebar roti canai bukanlah pilihan utama, namun gadis lepasan jurusan Pengurusan Perniagaan dari Kolej Vokasional Sungai Petani 2 ini membuat keputusan untuk menjadi penebar roti canai selepas enam kali gagal dalam temuduga kerja.
Bagi meningkatkan kemahirannya, Aqilah turut menghadiri kursus membuat roti canai dan dapat mempelajari hampir 20 menu roti canai.
“Saya menebar roti dengan cara saya malah belajar dan terus belajar serta menambah baik dari semasa ke semasa untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan hinggalah ke saat ini saya sudah tidak kekok untuk berbuat demikian dan pelanggan pun puas hati,” katanya.
https://twitter.com/amni_stalker/status/1316706515365982208?
Dalam pada itu, Aqilah berkata dia turut menjual roti canai dan murtabak sejuk beku sejak Jun lepas untuk mempelbagaikan pilihan sekali gus dapat meningkatkan hasil jualan.
SUMBER: SiakapKeli