Memberi alasan kepada ibunya hendak keluar sebentar, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun bertindak mengikut lelaki yang dikenali melalui WhatsApp selepas diperkenalkan oleh rakannya.
Lebih mengejutkan, remaja perempuan itu sudah berani mengikut lelaki berusia 21 tahun ke sebuah bilik sewa di Jalan Langgar, Alor Setar meskipun baru tiga hari kenal.
Bagaimanapun, remaja berusia 13 tahun itu diselamatkan selepas polis menyerbu bilik berkenaan, 12.30 tengah malam tadi.
Ketika serbuan itu, polis menahan remaja perempuan terbabit dan enam lagi individu lain, termasuk dua remaja perempuan, masing-masing berusia 15 dan 18 tahun, serta empat lelaki berusia antara 14 hingga 21 tahun.
Selain itu, pemeriksaan di dua bilik bersebelahan mendapati terdapat dua pasangan lain.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar turut disertai anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK)
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Nor berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif ketamin dan methampetamine.
SUMBER: Harian Metro