Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer pada 24 November lalu untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19
BACA: Golongan Anti Vaksin Tak Senang Dr Zulkifli Dilantik Menteri Hal Ehwal Agama
Menurut Perdana Menteri, dengan perjanjian tersebut, Malaysia bakal menerima sebanyak 12.8 juta dos vaksin bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia pada tahun depan.
Jelasnya, perjanjian itu bertujuan untuk memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan di samping menjamin akses kepada vaksin tersebut sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat tersebut.
“Pfizer pada 9 November 2020 menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin tersebut adalah 95 peratus.
“Melalui perjanjian ini juga, Pfizer telah menjanjikan penghantaran sebanyak satu juta dos bagi suku pertama tahun 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat,” katanya pada sidang akhbar khas mengenai vaksin di Jabatan Perdana Menteri, pada Jumaat.
Sementara itu, menurut PM, proses pemberian vaksin, setelah diperolehi nanti akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan Covid-19.
“Seterusnya, vaksin ini juga akan diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain,” tambahnya.
Menurut Muhyiddin, KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) masih giat meneruskan rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19 yang secukupnya untuk rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan Kementerian Kesihatan bakal memulakan satu kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 menerusi inisiatif Kerajaan-dengan-Kerajaan (G2G) bersama Republik Rakyat China (RRC).
“Vaksin ini dibangunkan oleh Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).
“Kajian klinikal fasa tiga itu akan melibatkan sejumlah 3,000 peserta dan akan menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan itu.
“Kajian yang dijangka bermula pada bulan Disember 2020 akan dikendalikan oleh Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan telahpun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional (NMRR),” katanya.
Tambah beliau, profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh NPRA untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dan protokol kajian akan dikaji oleh Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC) bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.
“Kerajaan juga ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa vaksin yang akan digunakan di Malaysia mesti melepasi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh NPRA.
“Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam soal ini,” katanya