Belum lagi reda dengan pandemik COVID-19, sejak beberapa hari lalu beberapa negeri di Pantai Timur dilanda bencana banjir pula.
Situasi tersebut bukan sahaja menjejaskan penduduk dan pengguna jalan raya, malah para pelajar yang sedang mengikuti kelas secara atas talian yang mungkin tidak mendapat capaian internet.
Menerusi Twitter, tular satu perkongsian seorang netizen yang memuat naik perbualannya dengan seorang pensyarah berserta gambar keadaan rumahnya yang dinaiki air.
Difahamkan pelajar berkenaan memohon kelonggaran untuk menjawab ujian berikutan berdepan masalah internet berikutan rumahnya ditimpa banjir.
Bagaimanapun, jawapan yang diberikan oleh pensyarahnya itu ternyata mengejutkan ramai. Bukan sahaja enggan menerima alasan tersebut, malah turut memberi ayat sindiran.
Seperti sudah disangka, jawapan pensyarah itu menimbulkan kemarahan netizen yang disifatkan tiada rasa simpati dan tolak ansur.
Kata netizen, pensyarah sepatutnya memahami masalah pelajar, bukan membalas dengan kata-kata sindiran. Malah, ada yang mengatakan ramai yang mampu menjadi pensyarah, namun tidak ramai mampu jadi seorang pendidik.
Dalam pada itu, melihatkan perkongsian tular itu ramai yang tertanya-tanya mengenai nasib pelajar apabila berhadapan dengan banjir dan berharap semua pensyarah dapat bertolak ansur.
Sementara itu, ada di kalangan netizen memberi pendapat jika ada yang berhadapan dengan pensyarah bersikap demikian supaya membuat aduan kepada pengurusan universiti untuk diambil tindakan.
Bagaimanapun, ada yang mengatakan tiada guna jika membuat aduan kerana pihak pengurusan tidak ambil serius dengan perkara tersebut.
SUMBER: Twitter