Berang kerana lewat masak rendang ayam, seorang suami berusia 67 tahun tergamak meludah, menampak dan duduk di atas badan isterinya.
Dalam kejadian berlaku di Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang itu, isterinya berusia 66 tahun bagaimanapun melawan balik dan terjadi pergelutan hingga jatuh dari katil.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata wanita tersebut membuat laporan polis dan dikatakan mengalami lebam pada dagu dan sakit badan.
“Semasa pengadu berada di rumah, berlaku pertengkaran antara pengadu dan suspek berpunca daripada pengadu lewat memasak rendang ayam yang diminta.
“Semasa pertengkaran, pengadu ditampar di pipi dan pertengkaran berlaku hingga ke dalam bilik tidur,” katanya.
Katanya lagi, suspek yang merupakan seorang pesara Felda kemudiannya bertindak duduk di atas badan mangsa sebelum meludah muka mangsa.
“Suspek kemudiannya mahu mencekik mangsa tetapi mangsa telah melawan dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan kedua-dua jatuh daripada katil,” katanya.
Menurutnya, suspek menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan suntikan insulin empat kali sehari. Mangsa bersama suspek dan juga ibu suspek yang lumpuh berumur 86 tahun di rumah sama.
Polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
SUMBER: Free Malaysia Today