Sah! KKM Cadang Rentas Negeri Untuk Aidilfitri Ditangguhkan

Sudah masuk hari ketiga menyambut bulan Ramadan, nampaknya impian rakyat Malaysia untuk pulang Aidilfitri di kampung dilihat semakin samar.

Hari ini, menerusi satu kenyataan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Adham Baba memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan aktiviti merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ditangguhkan.

Beliau berkata ia berikutan situasi pandemik Covid-19 masih membimbangkan ketika ini serta rungutan dan rayuan pelbagai pihak agar kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan berkenaan.

“Sepertimana kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 28 April ini.

“Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan. Program vaksinasi (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan,” katanya.

Semalam, Malaysia mencatatkan 1,889 kes Covid-19, berbanding 1,767 kes pada Selasa.

SUMBER: Sinar Harian