Tidak dinafikan, ramai yang terjejas pendapatan susulan pandemik Covid-19. Malah, ramai yang terpaksa berniaga kecil-kecilan dan ada yang bekerja kerja lain untuk mencari rezeki.
Apabila berdepan masalah kewangan, institusi rumah tangga juga turut goyah. Lebih mengejutkan, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 902 kes dilaporkan berpunca daripada masalah tekanan ekonomi.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata PDRM telah membuka sebanyak 5,260 kertas siasatan membabitkan kes keganasan rumah tangga.
Malah, statistik Talian Kasih menerima sebanyak 2,540 panggilan dan semuanya melibatkan keganasan rumah tangga.
Rina berkata punca terjadinya perkara itu disebabkan ramai terjejas pendapatan atau hilang kerja dan mereka luahkan tekanan perasaan itu kepada keluarga.
Katanya lagi, berdasarkan jumlah statistik tersebut pihaknya dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama untuk menjadikan masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga.
Dua masjid dipillih sebagai perintis program iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail dimana mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatkan perlindungan di masjid berkenaan.
Kedua masjid itu turut menyediakan kemudahan bilik asrama serta keperluan asas diri serta makan dan minum sepanjang berada di situ.
“Dalam menyantuni mangsa keganasan rumah tangga di pusat transit ini kelak, setiap mangsa akan dibekalkan dengan kit persalinan mengandungi baju dan seluar, selimut, tuala mandi, peralatan mandi dan keperluan asas wanita,” katanya.
SUMBER: Sinar Harian