Diserang demam dan batuk berterusan beberapa hari selepas sambutan Aidilfitri lalu, seorang warga emas, Maimunah Dolah, 72, berkata dia menyangkakan kerana makan budu terlalu banyak.
Namun sangkaan warga emas dari Kampung Pulau Seratus, Tumpat itu salah sama sekali apabila ia merupakan gejala Covid-19.
“Saya ingatkan sebab banyak makan budu tapi ia datang dengan demam yang membuatkan tubuh berasa lemah dan tidak bermaya.
“Beberapa hari selepas itu, kami penduduk di gugusan pulau di sini diarahkan menjalani ujian calitan di sebuah sekolah tapi saya tidak larat langsung untuk bangkit menyebabkan petugas kesihatan terpaksa datang membuat ujian di rumah sebelum saya disahkan positif Covid-19,” katanya.
Kata Mainumah lagi, dia kemudian dijemput leh petugas kesihatan dengan menaiki bot menuju ke tanah besar untuk dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa untuk dikuarantin.
Baru sahaja tamat tempoh kuarantin semalam, Maimunah ditemui di Jeti Kok Majid selepas dihantar oleh ambulans dan menaiki bot pasukan bomba untuk dibawa pulang ke rumah.
SUMBER: Harian Metro