Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan mengenai Datuk Profesor Dr Muhaya Mohamad apabila satu perkongsiannya berkaitan isu ‘kenapa wanita lambat dapat jodoh’ mengundang kecaman netizen.
Kenyataan Profesor Dr Muhaya berkaitan sifat wanita yang perlu kelihatan lemah-lembut dan ‘kurang bijak’ dihadapan lelaki menimbulkan kecaman netizen.
Terbaru, Prof Muhaya tampil memohon maaf secara terbuka menerusi media sosialnya. Menerusi kenyataan itu, Prof Muhaya memohon maaf di atas salah faham yang timbul.
Jelasnya, hantaran klip 56 saat tersebut adalah petikan dari Live Facebook Prof Muhaya dan Youtube Prof Muhaya TV berdurasi 45 minit yang diterbitkan pada 6 Feb 2021 jam 6 petang bertajuk “Antara Cinta dan Cita-Cita”.
“Siaran ‘live’ Bonda (Muhaya) tersebut bagi menjawab persoalan KK-Talib dan komen-komen dari Facebook berkaitan wanita yang dalam dilema, antara mengejar kerjaya, cinta serta keluarga.
“Bagaimanapun Bonda faham klip yang telah disunting kepada 56 saat menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat terutama kaum wanita sehingga menimbulkan persoalan, perbalahanan dan sangkaan,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau juga wanita, isteri, ibu dan nenek yang berkerjaya dan sudah pastinya sentiasa mendoakan semua wanita berjaya ke puncak tertinggi, berbahagia dunia akhirat dan mendapat reda Allah.
Dalam pada itu, Prof Muhaya berkata mereka yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kontroversi itu perlu menonton rakaman video berkenaan secara penuh.