Umum mengetahui susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini rakyat diminta untuk duduk di rumah melainkan ada urusan penting berkaitan kerja dan memerlukan surat kebenaran.
Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki warga Pakistan ditahan kerana memiliki dokumen palsu ketika pemeriksaan polis di Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya.
Namun, keadaan menjadi kecoh apabila isterinya membuat provokasi terhadap anggota polis demi menyelamatkan suaminya.
Memetik laporan Kosmo!, dalam kejadian pada 11 Jun lalu, polis meminta suspek menunjukkan dokumen pengenalan diri termasuk surat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), bagaimanapun surat yang dikemukakan adalah palsu.
Secara tiba-tiba wanita tersebut meluru ke arah polis lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan merampas dokumen milik suaminya yang berada di tangan anggota polis.
Wanita itu turut mempersoalkan pemeriksaan yang dilakukan pihak polis terhadap suaminya itu termasuk cuba menyerang anggota itu.
Video tular itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut geram dengan tindakan wanita itu yang melemparkan kata-kata kesat terhadap polis yang hanya menjalankan tugas mereka.
Dalam pada itu, ramai yang memuji anggota polis yang tetap bersabar dan bercakap secara baik meskipun diprovok pada awalnya namun bertindak selepas diserang oleh wanita berkenaan.
Tidak kurang juga ada yang mengatakan perkara boleh selesaikan cara baik jika memberi kerjasama baik terhadap frontliners yang kini berpenat lelah menjalankan tugas demi memutuskan rangkaian Covid-19.
Difahamkan, pasangan suami isteri berusia 42 dan 33 tahun itu diberkas dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
SUMBER: Kosmo!