Sebut saja durian sememangnya ramai yang menggemari rasanya. Siapa yang boleh menolak rasa buah durian yang lemak manis.
Musim durian adalah antara musim yang dinanti ramai dan pasti peminat durian tidak akan melepaskan peluang membeli jenis durian kegemaran mereka.
Tetapi, tidak semua mampu untuk menikmati raja buah tersebut kerana harga ditawarkan bukannya murah. Namun, seorang pemuda ini menjual durian kampung hanya pada harga RM1.99 sekilogram.
Murah betul! Mohd Shukri Omcek, 27, berkata dia menjual durian pada harga murah dengan niat untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat dapat menikmati buah berkenaan.
Membuka gerai jualan berhampiran Pasar Awam Bagan Serai, Shukri berkata dia terkesan dengan rungutan orang ramai mengatakan harga durian mahal dan hanya golongan kayangan mampu membelinya.
“Saya sedih bila ada yang mengadu tak mampu nak beli durian kerana harganya yang tinggi di pasaran. Atas sebab ini saya bersama seorang rakan mencari pekebun-pekebun durian di sekitar kawasan Bukit Gantang dan Trong yang menawarkan jualan rendah secara borong.
“Dengan cara ini, dapatlah kami menjual pada harga serendah RM1.99 sekilogram,” katanya.
Katanya lagi, sambutan diterim luar biasa sehinggakan tiga tan durian habis dijual tidak sampai satu jam. Malah, ada yang datang dengan perasaan hampa kerana durian sudah habis.
Seorang pelanggan, Mohd Khaizal Mohd Shaari, berkata harga yang ditawarkan sangat rendah dan berbaloi serta memberi peluang kepada orang ramai berpendapatan rendah untuk membelinya.
“Sikap penjual durian yang menawarkan jualan murah seperti ini perlu dipuji kerana dalam tempoh pandemik Covid-19, sudah tentu ramai terjejas pendapatan. Jika dijual mahal, memang ada yang tak mampu nak beli,” katanya.
SUMBER: Sinar Harian