Siapa yang pernah pekena ‘Nasi Ganja’, sememangnya hidangan tersebut membuatkan rasa terliur. Bagaimanapun, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasti sukar untuk peminat mendapatkan nasi tersebut di Ipoh.
Namun, ia tidak menghalang pembeli ini untuk mendapatkan ‘Nasi Ganja’ menglalui laluan udara memandangkan jalan darat tidak boleh digunakan.
Baru-baru ini, sebuah helikopter milik sebuah syarikat swasta mendarat di Padang Ipoh pagi tadi untuk mengambil pesanan 36 bungkus ‘Nasi Ganja’ yang dibuat dari Kuala Lumpur.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid yang dihubungi mengesahkan sebuah helikopter dikesan mendarat di Padang Ipoh jam 9.55 pagi.
“Setelah membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh, didapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja dan tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh,” katanya.
Sehubungan kejadian tiu, pihaknya sudah menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak CAAM untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, pemilik perniagaan nasi kandar yang enggan dikenali mengesahkan menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging, telur masin dari pelanggan di Kuala Lumpur.
“Saya agak ragu-ragu juga, kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.
“Namun saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan makanan memang benar diambil menggunakan helikopter.
“Ini pertama kali tempahan diambil oleh pelanggan menggunakan helikopter. Ini merupakan tempahan paling mewah pernah saya terima, tetapi harganya tetap sama iaitu RM10 setiap bungkus,” katanya.
SUMBER: Astro Awani