‘Abah’ Turun Padang Beri Kata Semangat Untuk Mangsa Banjir

Permulaan tahun 2021, kita dikejutkan dengan berita banjir besar yang berlaku di beberapa negeri. Malah, ramai yang bimbang melihat paras air sehingga sampai ke paras bumbung.

Bimbang dengan keadaan rakyat yang berada di kawasan terlibat, hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang melawat mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor.

Kunjungan Perdana Menteri di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana ternyata mengejutkan mereka yang berada di pusat pemindahan berkenaan.

Memetik laporan Harian Metro, seorang mangsa banjir, Mohd Azizie Kassim berkata dia tidak menyangka di saat sedang berduka muncul pemimpin berjiwa rakyat atau lebih mesra digelar ‘Abah’ untuk memberi kata-kata semangat.

“Kata-katanya memberi semangat kepada kami untuk menghadapi bencana dengan tenang dan sabar.

“Teruja dapat berbual berdepan dengan abah. Beliau memberi harapan kepada kami untuk lebih muhasabah, ia ibarat pengalaman sekali seumur hidup mendapat sapaan dari seorang Perdana Menteri.

“Sebagai rakyat, saya bangga dan berterima kasih beliau sudi menjengah kami di sini,” katanya.

Azizie yang juga Pembantu Kesihatan Awam di Pejabat Kesihatan Kota Tinggi berkata dia berpindah ke PPS bersama isteri dan dua anak lelaki mereka sejak Sabtu lalu selepas rumahnya di Taman Aman ditelenggami banjir.

Ujarnya, seorang lagi anaknya yang berusia 19 tahun yang juga menghidap penyakit cerebral palsy menumpang di rumah saudara di Taman Kota Kechil.

Difahamkan, seramai 156 daripada 35 keluarga dari kawasan Batu 25, Taman Aman serta Taman Mawai ditempatkan di PPS berkenaan.

Selain beramah mesra, Muhyiddin turut turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada kesemua mangsa banjir.