Acah Nak Ambik Air, Sekali Kena Cekup Khalwat Apa Cerita

Helah seorang lelaki yang kononnya memberi alasan datang ke rumah teman wanita untuk mengambil air kerana bekalan air terputus tidak berhasil apabila ditahan bersama pasangannya kerana berkhalwat.

Memetik Harian Metro, lelaki tersebut berusia 35 tahun dan pasangannya berusia 48 tahun dicekup berkhalwat di rumah sewa wanita itu di Taman Sri Pinang, Kulim.

Sementara itu, ketika pemeriksaan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) turut menemui banyak barangan milik lelaki itu di rumah terbabit.

Pasangan itu yang juga penjawat awam masing-masing turut mendakwa masih bujang dan belum berkahwin.

Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan maksiat di rumah terbabit 

“Hasil pemeriksaan mendapati, keadaan pintu rumah itu tertutup dan berkunci dari dalam.

“Mereka gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri sehingga menimbulkan syak mereka berkhalwat,” katanya.

Kedua-dua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan.

SUMBER: Harian Metro