Ada Pihak Sanggup Bayarkan Khidmat Peguam Untuk Asri Janggut

Sejak semalam tular mengenai video pendedahan seorang peniaga burger yang juga pengasas Hot Burger Malaysia, Asri Janggut mengenai kegiatan haram yang berlaku di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Pendedahannya mengenai kewujudan kedai judi yang rokok seludup secara haram itu ternyata mengejutkan ramai pihak. Bagaimanapun, selepas pendedahan yang dibuatnya, Asri berkata dia kini berasa terancam.

Namun susulan pendedahannya itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat laporan polis berhubung video dakwaan fitnah dan tohmahan yang ditularkan.

Kes tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk pihak NGO Al Azhar Care yang memuat naik satu kenyataan akan membantu Asri jika dakwaan terhadapnya diteruskan.

Malah, pihaknya sanggup menyediakan khidmat peguam dan memastikan kebajikan keluarganya jika berlaku sesuatu yang buruk.

Perkongsian oleh Al Azhar Care itu mendapat reaksi positif di kalangan netizen yang turut mendoakan agar keadilan berpihak kepada peniaga burger tersebut.

Malah, ada yang mengucapkan terima kasih kepada NGO berkenaan kerana sanggup melindungi Asri serta keluarganya. Tidak kurang juga ramai netizen mengatakan mereka sanggup menderma jika dibuka tabung untuk bayaran guaman.