Ahli Parlimen Kerajaan, Pembangkang Setuju Moratorium Dilanjutkan Sehingga Jun 2021

Memetik laporan Bernama, beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang hari ini bersetuju mengenai cadangan pelanjutan moratarium sehingga Jun 2021 dimasukkan dalam Belanjawan 2021.

Cadangan tersebut adalah dalam usaha membantu rakyat mendepani kesan pandemik Covid-19.

Dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mencadangkan supaya selepas moratorium dalam tempoh enam bulan, mereka yang mempunyai pinjaman RM500,000 dan ke bawah diberi penangguhan automatik untuk tiga hingga enam bulan lagi jika COVID-19 belum pulih.

“Dengan itu, pinjaman berjumlah besar dan banyak oleh T20, dan syarikat besar dengan tersendiri terkecuali kerana keupayaan mereka dan pada masa sama kita boleh terus membantu rakyat yang memerlukan. Angka RM500,000 itu boleh diubah mengikut yang lebih sesuai berdasarkan jumlah paling ramai rakyat yang boleh dibantu,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan inisiatif pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar, supaya dipendekkan tempohnya daripada 12 bulan iaitu RM500 sebulan kepada RM1,500 sebulan selama empat bulan menjadikan jumlahnya tetap RM6,000.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang bersetuju mengenai pelanjutan moratorium turut mencadangkan kerajaan untuk membantu kelompok peniaga sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak itu.

“Moratorium kita setuju supaya dilanjutkan pada bulan Jun akan datang kerana mereka menghadapi masalah yang begitu besar. Begitu juga syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana, mereka tak mampu bayar gaji pekerja.

“Kerajaan harus memberi bantuan kepada pekerja itu sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan untuk terus hidup sehingga selesai masalah pandemik (COVID-19),” katanya ketika berbahas.

SUMBER: Bernama