Ambulans Dirempuh Kereta Di Kedah, Dua Bayi Nyaris Maut

Dua bayi baru berusia seminggu dan 15 hari nyaris maut apabila ambulans yang membawa mereka terlibat dalam kemalangan di Kulim Perdana Hi-Tech, semalam.

Memetik laporan Utusan, dalam kejadian berlak 10.30 pagi itu, ambulans terbabit dalam perjalanan ke Hospital Kulim bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona di Simpang Empat Kulim Hi-Tech.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hitech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Yusri Yussof berkata, dua bayi lelaki berkenaa tidak mengalami kecederaan manakala ibu mereka berusia 32 dan 24 tahun mengalami cedera ringan.

Tiga kakitangan KKM iaitu pemandu ambulans dan dua jururawat juga mengalami kecederaan ringan. Dalam pada itu, wanita berusia 50 tahun yang merupakan pemandu Proton Persona turut cedera ringan.

“Kita menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 10.53 pagi dan anggota dari BBP Kulim Hi Tech tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Terdapat tujuh orang dalam ambulans iaitu dua bayi lelaki bersama ibunya serta tiga kakitangan KKM yang dalam perjalanan dari Klinik Kesihatan Padang Serai ke Hospital Kulim,” katanya.

Semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu di hantar ke Hospital Kulim untuk tindakan selanjutnya.

SUMBER: Utusan