Anak 12 Tahun Minat Urus Jenazah, Ajak Shiro Harap Anak Dapat Bacakan Talkin Untuknya

Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro meluahkan rasa syukur dan bangga apabila anak sulungnya, Jad Thaqif sudah mampu melakukan tugas fardhu kifayah menguruskan jenazah.

Baru-baru ini, menerusi Instagram Ajak memberitahu setakat ini anaknya berusia 12 tahun itu telah membantu menguruskan sembilan orang jenazah.

Memetik mStar Online, Ajak berkata dia menyokong penuh minat anaknya itu. Ujarnya lagi, minat anaknya itu timbil apabila sering mengikuti datuknya melakukan tugasan itu di kampung.

“Dia terlibat dengan pengurusan jenazah sebab keluarga mentua ada uruskan jenazah di Kluang, Johor.

“Pada awalnya dia hanya ikut suka-suka nak temankan datuknya, sampailah sekarang ni dia dah berani uruskan jenazah,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai minat anaknya itu, Ajak berkata anaknya itu tidak takut untuk memandikan atau menguruskan jenazah.

“Apa yang dia buat positif saya sokong. Lagipun bila dia bersahabat dengan si mati ini saya suka sebab bila kita uruskan si mati sampai ke kuburan dekat situ boleh belajar macam mana kita nak jadi merendah dirinya hidup kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ajak berkata apabila dia pergi suatu hari nanti dia mengharapkan anaknya yang akan membacakan talkin untuk dirinya.

“Saya harapkan bila saya pergi esok saya harapkan anak saya dapat bacakan talkin untuk saya,” katanya.

SUMBER: mStar Online