Anak Mangsa Kemalangan Myvi Putih Tak Henti Menangis, Tidur Sambil Peluk Baju Bapa

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai insiden nahas yang berpunca daripada kereta Myvi sekaligus mengundang kemarahan ramai. Kemalangan tersebut meragut nyawa seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Allahyarham Mohd. Rizal Buseri.

Pemergian arwah yang meninggal dunia selepas dilanggar pemandu lalok di Taman Pelangi, Johor itu sudah pasti memberi impak kepada keluarga terutama anak sulungnya, Nur Amani Raudah, 5, yang merindui belaian bapanya.

Lebih pilu, kanak-kanak tersebut asyik menangis dan tidur sambil memeluk baju bapanya. Ibu saudara arwah, Nor Farhana Amir memberitahu, tiga anak mangsa mula mencari bapa mereka sejak malam kelmarin.

“Paling terkesan dengan kehilangan ini ialah anak sulungnya (Nur Amani). Dia kerap menangis dan cakap dia merindui bapanya, semasa tidur pun dia memeluk baju bapanya,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, arwah Mohd. Rizal maut selepas keretanya dilanggar Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi.

Arwah Mohd. Rizal meninggalkan isteri, Nurul Asyiken Amir dan tiga anak berusia lima tahun hingga sembilan bulan.

Dalam pada itu, Nor Farhana berkata mereka sekeluarga menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan terperinci agar pesalah dikenakan hukuman setimpal atas kecuaian sehingga meragut nyawa adik iparnya.

SUMBER: Kosmo!