Antivaksin Dinasihat Berhenti Menghasut, Boleh Dipenjara, Denda RM50,000

Umum mengetahui, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan pendaftaran untuk penerima vaksin Covid-19 telah dibuka dan ia boleh dibuat menerusi aplikasi MySejahtera dan beberapa kaedah lain.

Bagaimanapun, sejak ketibaan vaksin Covid-19 di Malaysia banyak khabar angin disebarkan, malah ada segelintir pihak menolak suntikan tersebut yang menggelarkan diri mereka antivaksin.

Namun, mungkin golongan antivaksin dinasihatkan supaya berhenti menghasut serta menyebarkan berita palsu kerana anda boleh didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang.

Golongan antivaksin yang kerap menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Bukan itu sahaja, kes berita palsu juga boleh disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.

Malah, individu yang membuat, menerbit atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan maklumat palsu dan tidak tepat dengan erti kata lain menghasut, tidak akan terkecuali berdepan dengan tindakan undang-undang.

SUMBER: Sinar Plus