Sejak kebelakangan ini hangat diperkatakan mengenai kes rumah tangga disondol oleh pihak ketiga. Malah, siapa saja yang berkahwin dengan suami orang pasti akan digelar ‘penyondol’.
Susulan isu hangat diperkatakan itu, pendakwah terkenal, Ustaz Kazim Elias menegur tindakan segelintir pihak yang mengelar wanita sebagai ‘penyondol’ sedangkan di sisi syarak, keadaan tersebut dibolehkan.
“Siapa kita nak label wanita itu sebagai penyondol sedangkan Allah SWT sudah menghalalkan perkara berkenaan apabila lelaki itu berkemampuan.
“Baginda Rasullah SAW juga mempunyai lebih daripada seorang isteri, apakah kita nak cakap isteri-isteri baginda itu dengan gelaran berkenaan?
“Jangan kita sedap mulut saja kerana geram atau marah sedangkan istlah itu sangat tidak sesuai,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut bimbang melihat trend tersebut lebih-lebih lagi ramai kalangan wanita yang terbawa dengan emosi sekali gus melabel wanita mengahwini suami orang sebagai ‘penyondol’.
Menurutnya, ia seolah memberi gambaran bahawa berkahwin lebih daripada satu adalah salah di sisi Islam, sedangkan sebenarnya tidak begitu.
“Siapa kita ingin lawan ketetapan yang sudah dibuat oleh Allah. Jangan kita ikutkan emosi dan marah ini dengan melabelkan orang dengan sesuka hati kerana kita bimbang mungkin akidah kita yang menjadi taruhan kelak,” katanya.
SUMBER: Astro Gempak