Baru-baru ini tular video berdurasi 20 saat mula viral di media sosial apabila kelihatan sebuah kubur mendap dan mengeluarkan cecair merah seperti warna darah sekaligus mengejutkan orang ramai.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman Twitter oleh seorang netizen yang juga merupakan seorang wartaman, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Masjid Al-Irfan Derga, Alor Setar, Kedah.
Menerusi laporan Harian Metro, jemaah Masjid Al Irfan Derga, telah pun membuat laporan polis, susulan dakwaan berkenaan dan mengatakan mendapan yang berlaku di kubur itu juga sudah ditimbus.
Dalam pada itu, Imam Masjid Al Irfan, Derga, Abdul Hadi Awang berkata dia terkilan dengan penyebaran berita berkaitan ‘kubur berdarah’ itu serta merayu kepada orang ramai supaya menghentikan penyebaran video berkenaan.
Menceritakan keperibadian arwah, Abdul Hadi berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarham merupakan seorang yang berperibadi mulia dan sentiasa memberi sumbangan kepada khariah masjid.
“Arwah ni orang yang baik-baik dan baru dikebumikan kira-kira tiga minggu lalu dan meninggal dunia ketika berusia 70-an akibat sakit tua.
“Sepanjang hayatnya, arwah banyak melakukan amal jariah dan kebajikan di masjid ini tapi apabila berita yang ditular tidak tepat, saya sedih dengan apa yang berlaku,” katanya .
Menurutnya, dua hari lalu ada satu kematian di kawasan perkuburan itu dan ketika itu jemaah masjid menyedari kubur itu mempunyai cecair merah pada jam 11 pagi.
“Saya minta cukuplah, berhenti tular cerita ini. Cuba bayangkan yang meninggal itu bapa atau abang kita, mungkin kita pun sedih.
“Sekarang musim hujan, mungkin ada orang siram minyak bagi rumput mati kita tak tau, biarlah polis siasat, kami jemaah masjid serah pada polis,” katanya.
Difahamkan, jenazah itu dikebumikan kira-kira dua minggu lalu, dan difahamkan jemaah masjid sudah melawat kubur berkenaan serta mengesan cecair merah di atasnya tetapi tidak pasti cecair apa.