Azwan Ali Bengang Neelofa Tak Diambil Tindakan, Wujud Double Standard?

Sejak Isnin lalu hangat diperkatakan tular video dikongsikan netizen di media sosial mengenai keluarga selebriti popular Neelofa didakwa melanggar operasi standard (SOP) apabila disyaki menyambut hari raya bersama keluarga besarnya.

Perkara itu turut mendapat perhatian pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA yang lantang menyelar Neelofa yang didakwa sudah tiga kali melanggar SOP.

Menerusi satu status yang dimuat naik di Twitter, Azwan turut bengang kerana sudah tiga kali selebriti itu didakwa melanggar SOP dan perkara itu membuatkan rakyat marah dan tersinggung.

Susulan itu, Azwan juga turut menggesa dan mencadangkan agar Neelofa dikenakan hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukannya itu. Malah, Azwan turut  mempersoalkan apa sumbangan besar Neelofa yang boleh dibanggakan.

“Saya nak jadi orang rakyat pertama gesa kerajaan untuk penjarakan selebriti perasan bagus ini. Siapa setuju? Kasi (bagi) viral (tweet) ini.

“Dua kali dah kau gelupur langgar SOP. Ini kecoh kali ketiga. Lagi-lagi muka kau. Muhasabah weh, kerana kau rakyat tersinggung dan marah. Apa sumbangan besar kau pada industri hiburan Malaysia!,” tulisnya di Twitter.

Dalam pada itu, memetik laporan Harian Metro Azwan juga beranggapan kerajaan bertindak pilih kasih dalam menjatuhkan hukuman terhadap rakyatnya.

“Orang ini boleh dan orang itu tak boleh. Undang-undang apa namanya? Saya antara rakyat yang akan habis-habisan bercakap berkenaan undang-undang.

“Kalau Diva AA (saya) buat salah, laju sahaja masing-masing menggelupur buat laporan polis, suruh tangkap saya dan masukkan dalam penjara. Esoknya, terus naik turun mahkamah.

“Kenapa apabila Neelofa, diabaikan begitu saja. Apa hebatnya dia? Apa sumbangan dia pada negara dari segi industri hiburan?,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang wanita mirip Neelofa dan suaminya, Haris Ismail serta Nabila dan Engku Emran bersalaman dan berpelukan dengan ibu bapa mereka. Turut kelihatan dalam video tersebut adik-beradik Neelofa yang lain.

SUMBER: Harian Metro