Baling Batu Pada Kucing Sampai Menggelupur, Lelaki Ini Buat Netizen Marah

Kita sepatutnya memberi kasih sayang kepada haiwan terutamanya kucing yang merupakan haiwan kesayangan Nabi Muhammad, namun ada individu tidak bertanggungjawab bertindak memukul serta mencederakan binatang comel itu.

Baru-baru ini tular video dirakam menerusi kamera litar tertutup memaparkan seorang lelaki layak dipanggil syaitan bertopengkan manusia sanggup mencederakan seekor kucing.

Menerusi video itu lelaki tersebut yang memandu kereta Bezza memberhentikan keretanya di hadapan sebuah kedai.

Lelaki itu kemudian mengumpan seekor kucing dengan memberikan makanan. Secara tiba-tiba lelaki itu membaling batu ke arah kucing berkenaan dan terkena tepat pada kepala.

Lebih pilu, kucing malang itu ditinggalkan dalam keadaan menggelupur akibat kecederaan yang dialami.

Lelaki tersebut pada awalnya masuk ke dalam kereta selepas membaling batu berkenaan, namun dilihat keluar semula untuk melihat kucing tersebut yang berada dalam keadaan kesakitan.

Menerusi video dikongsikan oleh pengguna Facebook bernama Hafiz Qayyum, kejadian berlaku di hadapan sebuah kedai pagi Ahad lalu di Semeling, Kedah.

Pengguna Facebook itu turut memuat naik foto kucing tersebut yang mengalami luka di bahagian kepala. Menurutnya, kucing tersebut telah diselamatkan dan di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah.

Video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang berang dan marah dengan tindakan tidak berperikemanusiaan lelaki itu.

Malah, ada yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan dengan menangkap lelaki tersebut. Terbaru, pengguna Facebook itu memalumkan bahawa lelaki tersebut sudah pun diberkas oleh pihak polis.

SUMBER: Facebook Hafiz Qayyum