Pemandu Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan maut di Johor pada Sabtu lalu dihukumkan hukuman penjara enam tahun dan denda sebanyak RM8,000 oleh mahkamah hari ini atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.
Meskipun sudah dijatuhkan hukuman, keluargaLaskar Kanan Mohd Rizal Suberi belum bersedia memaafkan pemandu wanita yang menyebabkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam kemalangan itu.
Balu Allahyarham iaitu Nurul Asyiken Amir insiden yang berlaku memberi kesan emosi mendalam terhadap mereka sekeluarga, malah dia dan tiga anaknya masih berada dalam keadaan terkejut.
Lebih pilu, Asyikin berkata dia tidak dapat memberikan jawapan apabila anaknya bertanyakan soalan mengenai arwah bapa mereka. Ujarnya lagi, sukar untuk menerima apabila wanita tersebut memohon maaf kepada mereka.
“Saya tidak dapat berikan jawapan sama ada kami maafkan pemandu wanita itu kerana sukar mengungkapkan kata-kata itu. Hati saya hancur. Derita itu hanya saya dan anak yang akan tanggung.
“Anak sulung berusia lima tahun sudah menonton video kereta bapanya dirempuh wanita itu dan kemudian bertanya ‘Mama kenapa perempuan itu langgar papa sampai mati.” katanya kepada Harian Metro.
Katanya lagi, dia berharap wanita berusia 23 tahun itu insaf dan menyesali perbuatannya selain tidak mengulanginya semula kesalahan sama pada masa depan.
“Saya harap benda ini dijadikan iktibar kepada orang ramai di luar sana supaya berhati-hati ketika memandu kerana sebarang kesilapan membuatkan ada keluarga hilang insan paling mereka sayangi,” katanya.
Difahamkan, ketika prosiding di Mahkamah Majistret Johor Baharu hari ini, pemandu Perodua Myvi memohon maaf dan ampun kepada keluarga Allahyarham berikutan kemalangan menyebabkan mangsa maut.
SUMBER: Harian Metro