Bantuan Prihatin Nasional 2.0 Dibayar Lebih Awal, Lebih 7 Juta Terima Manfaat

0
23740

Berita baik buat kita semua apabila proses pembayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) fasa pertama telah pun dimulakan secara berperingkat bermula 19 Oktober lalu membabitkan 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

BACA:

Menerusi laporan BH Online, Kementerian Kewangan mengambil keputusan untuk memulakan pembayaran lebih awal daripada tarikh yang disasarkan iaitu 26 Oktober ini memandangkan ramai penerima bantuan.

“Ini adalah hasil usaha pegawai-pegawai kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan institusi kewangan yang memastikan agar sistem pembiayaan tersedia secepat mungkin demi membantu kesemua 10.6 juta penerima BPN 2.0 dalam fasa pertama ini”

“Pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40,” katanya. Bagi golongan M40, pembayaran telah bermula semalam membabitkan 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang”

“Memandangkan jumlah besar penerima, proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan ini,” katanya.

Bagi penerima yang bantuan mereka gagal dimasukkan ke dalam akaun, mereka diminta menuntut bayaran tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Memandangkan beberapa negeri sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP), seperti sebelum ini.

“Ingin diingatkan juga bahawa tempoh permohonan baharu untuk BPN2.0 masih dibuka sehingga 15 November ini,” katanya.

Melalui kenyataan ini, ia turut menjawab persoalan netizen yang mendakwa mereka sudah menerima bayaran bantuan itu pada minggu ini, lebih awal daripada tarikh yang diumumkan kementerian sebelum ini.