Bapa 4 Anak Didakwa Bunuh Isteri Pada Malam Raya Berdepan Hukuman Gantung

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya pada malam Aidilfitri, 1 Mei lalu di sebuah rumah di Taman Koperasi Maju Jaya antara pukul 12 tengah malam hingga 3.30 pagi.

Memetik Kosmo! tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohd. Syawalludin Ismail, 38, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mekanik yang juga bapa kepada empat anak itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Siti Nadirah Mohd. Nazul, 28 tahun.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak dibenarkan ikat jamin dan mahkamah menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Terdahulu, hangat diperkatakan mengenai seorang wanita dibunuh suami selepas didakwa mendedahkan kecurangan lelaki tersebut di media sosial.

SUMBER: Kosmo & TikTok