Bapa Beri Anak 5 Bulan Minum Arak Ditahan Polis

Sejak semalam tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki memberikan minuman arak daripada bekas di dalam tin kepada bayi berusia lima bulan.

Susulan video tular itu, pihak polis telah pun menahan seorang lelaki dipercayai bapa bayi berkenaan di sekitar Teluk Bahang, Balik Pulau kira-kira 1.30 semalam selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.

Siasatan mendapati, lelaki berusia 19 tahun itu turut mempunyai 14 rekod jenayah lampau selain merupakan orang pengawasan polis (OPP) di kawasan Teluk Bahang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata bayi berkenaan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut walaupun kelihatan berada di dalam keadaan sihat.

Tambahnya lagi, pihak polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Balik Pulau bagi membantu siasatan kes itu yang dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

SUMBER: Utusan